Apakah Punca Dan Gejala Batuk Kering

Tuberkulosis atau nama lain yang digunakan ialah batuk kering merupakan jangkitan kuman yang dikenali sebagai ‘Mycobacterium tuberculosis’. Paru-paru merupakan organ pertama dan utama yang menjadi sasaran. Namun, organ lain juga turut boleh dijangkiti kuman ini seperti otak, tulang belakang, sendi dan lain-lain. Jangkitan ini juga boleh menjangkiti golongan dewasa dan juga golongan kanak-kanak. Penyebab utama tuberkulosis ialah kuman ‘Mycobacterium tuberculosis’. Jangkitan ini merebak melalui udara. Apabila orang yang dijangkiti tuberculosis batuk, bersin atau meludah, jangkitan ini akan menular di udara dan menjangkiti orang-orang yang berhampiran yang sihat. Hal ini kerana batuk kering ini merebak melalui titisan air di udara. Apabila bakteria berjaya masuk ke dalam badan, ia akan terus ke paru-paru dan membesar di situ serta lama-kelamaan akan bergerak menerusi saluran darah ke tempat-tempat lain di badan.